Saturday, June 30, 2012

Cebisan...

Lama menyepi, blog ini...

Terasa ralat meninggalkan Jun tanpa coretan, maka catatan ini terhasillah.

Wan semakin menunjukkan minat terhadap foto bercorak minimalis. Cantik sekali karyanya. Gambaran ringkas, sarat penuh makna-

yang aku sendiri pun tidak tahu.

Kekaburan sejak kebelakangan ini. Letih tidak menentu masa. Waktu tidur, tidak dilenakan. Sibuk mengisi masa dengan pelbagai perkara melainkan yang utama yang patut aku langsaikan-

termasuklah tidur :P

Beberapa purnama yang lepas, jelas hala tujuku, terang sasaranku. Tiba-tiba berkocak! Bersimpang-siur segalanya. Berbalam-balam pemandangannya-

aku di mana?

Mengalami keadaan yang mengelirukan lagi. Pasti ada hikmahnya kami dipertemukan. Adakah benar telahan Abang Man? Adakah aku dipergunakan lagi?

Bagaimana mungkin, suatu pernyataan bahawa kami akan terus bersaudara-

bagaikan ucapan selamat tinggal?

Benar-benar risau apabila seorang sahabat, yang selama ini begitu berkemampuan pada pandanganku, memberitahu bahawa dia memerlukan bantuanku. AlhamduliLlah, aku terdaya serta mampu menolongnya.

Moga dipermudahkanlah segala urusan baiknya. Moga kami terus bersahabat sepanjang hayat kami di dunia ini, hingga kekal ke akhirat nanti-

insyaAllah... Itu pun jika Allah masih redha denganku.

Begitu cepat masa beredar. Setengah tahun telahpun berlalu. Masih banyak impian yang belum dapat digapai. Masih banyak dosa yang belum sempat ditebus.

Jiranku meninggalkan dunia fana ini sekitar jam 9.30 malam tadi-

bersediakah aku untuk menyusul?

Risaukan Adik yang baru melanjutkan pelajaran di Penang. Kursus yang didalami memang diminati. Mungkin kerinduan terhadap keluarga menyebabkan dia tidak bahagia.

Aku akan usaha membantunya. Ada rezki, aku bercadang menziarahinya di sana. Mungkin dapat melegakan hatinya, mungkin tidak-

sebab yang dirinduinya bukan aku.

Ramadhan menjelang tiba. Nampak gaya, tahun ini juga mendapati aku amat kurang bersedia menghadapinya. Jiwaku betul-betul kacau. Bagaimana melaksanakannya dengan tenang?

Sesi latihan tidak langsung menunjukkan sebarang penambahbaikan-

aku tetap aku yang itu juga.

Joey

Terima kasih atas kunjungan dan pandangan dan kata-kata semangat. Aku hargai sangat-sangat.

Sebagaimana hadirnya kamu di kala aku keperluan, moga Allah hadirkan bantuan di saat kamu memerlukan, aamiin...