Saturday, October 08, 2005

Time after time...

Time is contradictory in nature.

Jam dan minit berlalu dengan amat lembap, terutamanya jam dan minit bekerja. Tetapi hari pula begitu pantas berlalu, persis sebutan Bahasa Inggeris yang sama bunyi dengannya- Hurry! Hurry! Kadangkala terdetik di hatiku ketika sedang menonton salah satu siri TV mingguan kegemaranku- Eh? Bukankah baru semalam aku menonton siri ini..?

Bulan turut bergerak laju. Sedang berborak dengan Cik Easy dalam perjalanan dari sesi Diablog di Rumah Pena ke Klang, kami tersentak memikirkan- Lusa dah masuk Ramadhan! Rasanya seperti kami belum bersedia untuk menghadapi bulan tarbiyah tersebut.

Sebaliknya pula, tahun berjalan dengan penuh barakah. Aku baru-baru ini bertanyakan Abang Imam tentang umur salah seorang anaknya (yang merupakan ‘anak saudara’ kesayangan aku),

Kang, Zaid ki piro umure?”
“Dah dekat tiga tahun setengah,”


Hatiku terdetik lagi- Eh? Bukankah kali terakhir aku bertanya soalan yang serupa, Zaid berumur tiga tahun juga?

Begitu juga apabila aku berborak dengan Cik Easy tentang umur anaknya- Eh? Baru dua tahun setengah? Bukankah sudah lama si Nabil yang comel itu meniti usia? Masakan masih berumur dua tahun?

Namun, mengenangkan usiaku yang sudah di akhir tahun ke dua puluh lapan ini, kesimpulan yang dapat kubuat tetap menyatakan bahawa masa itu lebih pantas daripada shinkansen. Baru sahaja duduk untuk menikmati perjalanan, sedar-sedar sahaja aku sudah berada di sini, di saat dan tika ini, tanpa berpeluang menoleh ke belakang walau sekali pun…

No comments: