Saturday, July 24, 2004

Warkah untuk Pak Lang

Kehadapan Pak Lang yang dikasihi dan diingati selalu,

Assalam ‘alaikum wa rahmatullah wa barakatuh,

Apa khabar Pak Lang sekarang? Ri harap Pak Lang dan keluarga sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera.

Bagi memulakan bicara, Ri terutama sekali ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya kehadiran warkah ini menganggu hidup Pak Lang. Ri sedar bahawa Pak Lang sekarang begitu sibuk dengan tugasan untuk mendidik anak bangsa. Tambahan pula dengan perhatian yang perlu ditumpukan kepada Mak Lang tercinta serta Marwan Si Comel. Itu semua adalah tanggungjawab yang perlu diutamakan dalam hidup seorang insan berkeluarga.

Ri faham itu semua. Namun kefahaman bukanlah ubat bagi kerinduan. Kefahaman tidak akan dapat menggantikan sokongan yang Pak Lang berikan selama ini. Kefahaman tidak mampu menemani Ri melalui hidup yang penuh dugaan dan cabaran. Walaubagaimanapun, Ri terima ketentuan Allah ini dan hormati kewajipan yang perlu Pak Lang tunaikan.

Oleh itu, Ri akan meneruskan perjalanan yang entahkan sampai ke mana tanpa Pak Lang di sisi. Juga terima kasih yang tidak terhingga Ri ucapkan di atas kesudian Pak Lang menemani Ri sebelum ini, sehingga Ri berjaya menjejaki tempat di mana Ri berada sekarang.

Semoga Allah akan turut merahmati Pak Lang serta memberkati hidup Pak Lang sekeluarga sepanjang perjalanan di dunia yang fana ini hinggalah ke akhirat yang kekal abadi.

Salam sayang daripada anakanda nan jauh,

 
Ri

No comments: